Menghadiri PROTES, menentang kenaikan harga minyak yang tinggi dan mengejut baru-baru ini. Tiba di Stadium Kelana Jaya lebih kurang jam 12 tengahari. Kelihatan ramai
peserta berbaju merah masih bersiar-siar di gerai-gerai luar stadium,
dan bersantai berhampiran tasik di situ. Suara ceramah kedengaran dari
dalam stadium. Setelah melihat-lihat gerai, kami masuk ke dalam. Gambar
di atas diambil sejurus selepas masuk, lebih kurang 12.30pm. Nampak format kali ini -- ceramah diselang-seli dengan selingan hiburan ringan. Sempat menonton persembahan sajak dari salah seorang penghibur. Setelah Cikgu Bard mengumumkan rehat untuk solat Zuhur dsbgnya, kami kemudian keluar semula untuk bertemu rombongan lain, dan berehat-rehat, kemudiannya solat Zuhur.
Selingan seterusnya agak janggal -- band 'alternatif' pertama memberi persembahan mereka. Bagi saya, tiada masalah, tapi mengenangkan ramai hadirin yang sensitif dengan muzik seperti ini, rasanya tidak sesuai. Ceramah seterusnya, antara lain, pimpinan PSM dan PAS (sdri Aiman Athirah) meluahkan kehampaan mereka dengan protes di stadium, dan berikrar ini adalah kali pertama dan terakhir. Saya turut bersetuju, sambil terkenang himpunan BERSIH yang begitu berjaya tahun lepas. Perhimpunan awal di Kg Baru juga turut menggamit kenangan.
Gambar di atas diambil ketika selingan seterusnya: tarian naga dari kumpulan yang katanya pernah menjuarai kejohanan dunia (kalau tak silap). Terhibur juga. Tapi tak cukup untuk memaksa saya menunggu hingga ke malam. Mata mula mengantuk (!), dan isteri pun dah panggil balik. Kami pun pulang dalam pukul 4 petang.
Dalam perjalanan pulang, kami rasa agak pelik sebab tak kelihatan seorang pun Unit Amal PAS (kecuali semasa awal acara). Malam itu, melalui media perdana dan Internet, baru dapat tahu kenapa. ( Google utk tahu lebih lanjut ;-) ).
Kesimpulan saya:-
1. Perhimpunan di stadium hanya sesuai untuk 'meraikan' sesuatu (contohnya kalau PR mengambil alih tampuk pemerintahan ;-) ), bukan untuk demonstrasi.
2. Persembahan band kugiran ultra-rancak / heavy / bingit ala-barat (pure metal / punk / grunge / reggae / etc) tidak sesuai untuk majlis PR, walaupun niat dan mesej yang ingin disampaikan mungkin baik dan tepat. Ini kerana sensitiviti para ulamak dan ustaz PAS harus dijaga -- mereka memilih untuk menjauhi terus perkara-perkara sebegini, jadi haruslah dihormati. Banyak lagi bentuk hiburan yang lebih sesuai dan 'universal' (lagu-lagu puisi contohnya).
Apa pun, telah menjadi pengajaran bagi semua pihak. Teruskan perjuangan.